Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Khamis, Oktober 18, 2012

Amalan Terbaik PdP

Saya baru selesai membantu Unit Prasekolah, Sektor Dasar di Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) untuk empat hari dalam Konvensyen Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran dalam Pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2012 yang berlangsung di Pearl International Hotel, Jalan Klang Lama Kuala Lumpur. Pengalaman membantu unit ini walaupun hanya ditugaskan untuk membaca doa majlis perasmian dan sebagai Ahli Jawatankuasa Pengurusan Majlis Perasmian dan Penutup, namun terlalu banyak perkara yang saya perolehi sepanjang empat hari di sini.

Di sini saya mendapat satu ungkapan keramat. AMALAN TERBAIK adalah satu ungkapan yang cukup terkesan pada diri saya. Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran di kelas sepatutnya menjadi satu budaya yang boleh disebar luas dan dikongsikan kepada rakan-rakan guru yang lain. Seorang guru yang cemerlang dan kreatif lazimnya akan berjaya mencapai objektif sesebuah kurikulum dengan mudah dan berkesan. Guru yang semacam ini lazimnya juga mempunyai satu amalan yang mendorong dirinya untuk mudah dan berjaya mencapai objektif tersebut. Amalan inilah yang jarang dapat dilihat oleh rakan guru yang lain. Kerana tugas sebagai guru di sekolah, bukanlah tugas yang boleh ditonton oleh rakan-rakan guru tersebut dengan mudah untuk diambil sebagai contoh malah mungkin sebagai inspirasi untuk mencipta satu situasi kelas yang lebih menarik dan berjaya.

Dalam diam saya memuji Unit Prasekolah BPK ini yang berjaya mewujudkan konvensyen yang sebegini hebat diperingkat kebangsaan ini. Mereka berjaya mengumpul guru-guru cemerlang di seluruh negera, yang telah terpilih untuk mewakili negeri masing-masing bertanding menunjukkan amalan terbaik mereka sewaktu di kelas. Dengan menggunakan murid-murid yang didatangkan khas, yang baru dan yang mereka tidak pernah ajar, mereka dinilai oleh para hakim yang telah dilantik dari aspek segala rancangan dan tindakan pengajaran mereka. Murid-murid yang didatangkan khas ini akan saling bertukar ganti guru yang berbeza dari setiap negeri untuk menerima amalan terbaik guru-guru tersebut. Kejayaan menunjukkan amalan terbaik pengajaran guru tersebut dengan hasil pengajaran yang jelas, sudah pasti mendapat perhatian para juri untuk diangkat sebagai Juara Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran dalam Pelaksanaan Kurikulum  Prasekolah pada tahun ini.

Saya terfikir... mengapa tidak Unit Bahasa Arab yang saya kendalikan ini tidak mencipta program yang sedemikian rupa? Bahasa Arab merupakan mata pelajaran baru di sekolah rendah. Pengajaran mata pelajaran ini memerlukan kecekapan daripada segi teknik penyampaian selain kandungan yang dibina menarik dan mudah untuk difahami. Selama ini, unit ini hanya memberi penumpuan yang mendalam dari aspek kandungan kurikulum tersebut yang menepati kehendak semasa di samping ketepatan maklumat dan ilmu yang hendak disampaikan kepada murid. Pemilihan tema, perkataan, ayat serta aspek tata bahasa seringkali menjadi perdebatan dalam mesyuarat-mesyuarat penggubalan kurikulum tersebut. Namun, belum pernah sekali unit ini memberi penumpuan serius tentang aspek penyampaian kurikulum ini agar ianya boleh dikuasai kumpulan sasaran kurikukum ini iaitu murid-murid di kelas.

Tidak dinafikan bahawa dalam kursus-kursus penyebaran kurikulum, kami ada menyelitkan aspek pedagogi yang menjurus kepada tata cara penyampaian kurikulum yang baik. Namun itu semua merupakan sebuah teori yang boleh dicipta oleh sesiapa sahaja mengikut kemampuan akal mereka yang mencipta. Belum pernah sekali kami cuba memberikan contoh terbaik secara langsung yang dapat dilihat dan ditonton berulang kali sebagai panduan dan inspirasi kepada guru-guru lain yang mengajar.

Kurikulum Bahasa Arab sering dipandang berat oleh kebanyakan orang disebabkan keasingan bahasa tersebut dengan bahasa ibunda dan bahasa-bahasa lain yang ada di Malaysia. Kompetensi penguasaan bahasa yang kurang cekap oleh guru yang mengajar juga sememangnya menjadi faktor terbesar mengapa subjek ini sering gagal mendapat tempat di hati murid. Hanya sebilangan kecil sahaja guru kreatif dan inovatif  serta berkebolehan yang mampu untuk menonjolkan segala keistimewaan dalam kurikulum ini. Justeru, saya memasang cita-cita untuk menggarab pengalaman yang saya perolehi empat hari di Konvensyen Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran dalam Pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2012 ini untuk dilaksanakan dalam mata pelajaran Bahasa Arab di sekolah rendah pada masa akan datang. InsyaAllah.


Saksikan video persembahan multimedia yang saya hasilkan secara bidan terjun
yang telah dipersembahkan pada Majlis Perasmian Penutup konvensyen tersebut.


Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu